Pemain JDT merikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan Ulsan Hyundai FC sekaligus melayakan diri ke pusing 16 terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul kelab negara pertama yang melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL), selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim petang tadi.

Gol pertama JDT hadir seawal minit kelima perlawanan, menerusi sepakan percuma Leandro Velazquez, selepas Bergson Da Silva dijatuhkan Won Dujae.

Namun skuad kendalian Benjamin Mora tidak sempat meraikan jaringan itu, apabila pasukan Korea Selatan meledak gawang tuan rumah seminit kemudian, sekali gus menyamakan kedudukan menerusi rembatan Jun Amano.

Pemain JDT, Arif Aiman (kiri) cuba melepasi pemain Ulsan Hyundai FC, Lee Myung Jae (kanan) pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

JDT hampir mendahului pada minit ke-24, namun demikian gol jaringan Fernando Forestieri itu tidak dikira pengadil Nawaf Abdulla Shukralla kerana dikatakan ofsaid selepas menerima umpanan Aqif Fazail.

Kedua-dua pasukan dilihat terus berhempas pulas dan tertekan untuk menambah jaringan masing-masing dengan melakukan serangan bertubi-tubi, namun gagal meledak gawang.

Bagaimanapun, pada ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan seri dan menyebabkan JDT terkeluar dari persaingan, serangan terakhir pasukan itu pada minit ke-94 menerusi Arif Aiman Hanapi ke dalam kotak penalti, telah ditolak masuk ke gol sendiri oleh Park Yong-Woo, sekali gus memberikan gol kemenangan kepada JDT pada minit ke-94.

Reaksi kecewa pemain Ulsan Hyundai FC selepas tewas dengan pasukan JDT pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

Sementara itu, pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Kawasaki Frontale dari Jepun mencatat kemenangan ketiga apabila menumpaskan pasukan di kedudukan tercorot, Guangzhou FC 1-0. – Bernama