Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembersihan dan proses rawatan air di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) berikutan insiden pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, telah mencapai tahap 59 peratus setakat 9 malam ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan yang dikeluarkan malam ini menyebut, bekalan air bersih dijangka akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula jam 12.30 tengah malam ini (1 Mei 2022).

Menurut Air Selangor, bekalan air di kawasan-kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada 3 petang, 1 Mei 2022.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” menurut kenyataan itu.

Menurut Air Selangor, bantuan lori tangki masih lagi digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal dan Air Selangor telah berusaha untuk meminimumkan impak gangguan air tersebut kepada pengguna yang terjelas.

Bagi sebarang pertanyaan para pengguna boleh menghubungi  Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 ataupun Help Centre di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast