Pemain JDT meraikan jaringan bersama Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas berjaya menjaringkan gol ketika berdepan pasukan Ulsan Hyundai FC pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

ISKANDAR PUTERI – Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora amat berbangga dengan pemainnya selepas kelab itu mencipta sejarahnya tersendiri dengan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Mora berkata, sebagai sebuah kelab kecil di Asia, JDT telah menunjukkan kejayaan luar biasa dengan menewaskan Ulsan Hyundai FC dari Korea Selatan, yang merupakan juara ACL 2020.

“Kami tidak pernah berhenti percaya…pasukan Korea tentunya gergasi Asia…separuh akhir pada 2021 dan juara 2020.

“… dan kini kami keluarkan mereka dari kejohanan, JDT cuma sebuah kelab kecil dari Johor… jadi saya amat berbangga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini malam ini.

Mora berkata, gol sendiri Park Yong-Woo pada minit ke-94 merupakan satu nasib tidak baik buat Ulsan Hyundai, tetapi ia terhasil daripada serangan yang agresif JDT bagi menempah tempat dalam pusingan 16 pasukan ACL.

“Pertamanya kesemua gol dalam bola sepak terjadi akibat kesilapan, sama ada ‘pitch’ yang tinggi atau rendah, bahagian kiri atau kanan… akhirnya jika ia masuk ke dalam gol… ia disebabkan kesilapan.

“Kesilapan itu digerakkan oleh kepercayaan dan keagresifan kita untuk bergerak ke hadapan dan percubaan untuk mencari gol. Bagaimana cara ia dijaringkan, kiraan gol itu tetap sama,” katanya.

Penyokong merikan kemenangan selepas pasukan JDT berjaya menewaskan pasukan Ulsan Hyundai FC sekaligus melayakan diri ke pusing 16 terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Ulsan Hyundai Hong Myung Bo menyatakan rasa kekecewaannya.

“Cuma terdapat satu pilihan… menang perlawanan, tetapi yang lepas tetap lepas, dan walaupun sukar dengan jadual yang padat, pemain telah lakukan yang terbaik.

“Pada separuh masa kedua, minit-minit terakhir kami tukar formasi dan keputusannya kami gagal,” katanya.

JDT membuka lembaran baharu kepada bola sepak Malaysia selepas menjadi kelab tempatan pertama untuk layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) dengan mengalahkan Ulsan Hyundai 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini. – Bernama