Pemain JDT meraikan jaringan bersama Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora selepas berjaya menjaringkan gol ketika berdepan pasukan Ulsan Hyundai FC pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulaan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Empat kemenangan dan masing-masing satu seri dan kekalahan dalam saingan kumpulan I AFC Champions League membolehkan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima hadiah wang tunai sebanyak USD210,000 atau sekitar RM914,526.

Ganjaran itu ditetapkan oleh pihak AFC dalam buku peraturan kejohanan 2022 dimana setiap kemenangan akan menerima USD50,000 (RM217,744) dan seri pula akan menerima USD10,000 (RM43,548).

Selain itu, dalam buku peraturan yang sama juga ada menyatakan bahawa mana-mana pasukan yang layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan terbaik akan menerima bonus penyertaan sebanyak USD100,000 atau RM435,488 lagi.

Justeru, setakat ini pasukan JDT sudah pun mengumpul hadiah wang tunai sebanyak USD310,000 atau sekitar RM1,350,014.

Kelab milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu kini boleh berehat seketika sebelum melakukan persiapan rapi untuk bertemu lawan pada peringkat kalah mati yang dijadualkan akan berlangsung pada 18 atau 19 Ogos nanti di venue yang sama.

Sekiranya JDT berjaya lolos ke peringkat suku akhir AFC Champions League 2022, habuan wang tunai sebanyak USD150,000 atau RM653,221 akan menjadi milik mereka dan membolehkan mereka mengumpulkan bonus lebih RM2 juta. – MalaysiaGazette