Anak lelaki kepada pelakon, Delimawati Ismail, Zulfazli Jaafar ditemukan meninggal dunia dalam kereta di tepi lombong berdekatan Universiti Mahsa, Bandar Saujana Putra, Jenjarom pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Anak lelaki kepada pelakon, Delimawati Ismail, Zulfazli Jaafar ditemukan meninggal dunia dalam kereta di tepi lombong berdekatan Universiti Mahsa, Bandar Saujana Putra, Jenjarom pada Jumaat lalu.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh.

Katanya, Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Langat  yang menerima makluman melalui MERS 99 kemudian menemui lelaki berkenaan tidak sedarkan diri dalam keretanya kira-kira pukul 4.30 petang.

“Bertindak atas maklumat, pasukan polis telah sampai ke lokasi dan dengan bantuan pihak bomba telah berjaya membuka pintu kenderaan mangsa.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Hospital Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Ridhwan, isteri mangsa memaklumkan suaminya tidak pulang ke rumah sejak Khamis lalu sehingga ditemukan meninggal dunia pada keesokan harinya.

Jelas beliau, siasatan polis di tempat kejadian mengesahkan tiada unsur jenayah pada mangsa.

Sehubungan beliau berkata, kematian anak Delimawati  diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’.

Semalam, Delimawati yang memegang watak Hantu Kak Limah berkongsi khabar duka pemergian anaknya yang berusia 45 tahun itu menerusi Facebook.- MalaysiaGazette