Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain

KUALA LUMPUR – Tiada kuasa mutlak atau imun terhadap badan kehakiman dan ia boleh disiasat jika terdapat kesalahan namun  harus bersandar kepada jenis-jenis kes.

Menurut pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, kesalahan jenayah akan disiasat pihak berkuasa seperti polis atau mana-mana berkaitan tetapi kes-kes seperti integriti dan tata tertib akan disiasat secara dalaman melalui tribunal kehakiman itu sendiri.

Antara kes yang akan disiasat oleh tribunal dalaman adalah seperti kecuaian dalam laporan kehakiman yang tidak mencapai standard, tingkah laku yang tidak sesuai dengan sesuai sebagai seorang hakim, terlibat dengan orang yang sedang didakwa dengan kes hingga menimbulkan kesangsian dan banyak lagi kesalahan integriti.

Beliau berkata, bidang kehakiman merupakan antara bidang tertinggi yang diletakkan dalam Perlembagaan dan ia gambaran jelas bahawa badan itu memikul tugas dan tanggungjawab berat kepada masyarakat.

“Biar pun tiada keistimewaan kepada bidang kehakiman yang mana jika salah tetap disiasat tetapi masyarakat awam tidak wajar dengan sewenang-wenangnya membuat teguran secara terus.

“Bukan tidak boleh, cuma ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan menegur dengan cara serang peribadi, itu tidak bolehlah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hakim juga perlu sedar akan perkara itu perlu lebih berhati-hati dan tidak boleh bertindak melebihi apa yang sepatutnya.

“Badan kehakiman juga sama seperti Parlimen, tidak mutlak. Inilah demokrasi perlembagaan di negara kita,” ujarnya.

Beliau berkata, hakim juga tertakluk sebagai orang awam jika terdapat kesalahan yang memerlukan pihak lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

“Untuk kes ini tidak perlu perlindungan mana-mana pihak kerana ia bukan lagi kesalahan dalaman tetapi melibatkan kesalahan lain.

“Seperti saya katakan, bidang kehakiman mempunyai dua cabang dalam mengendalikan kes terhadap hakim iaitu tribunal dan kesalahan awam.

“Ini adalah perkara biasa. Biarkan kes ini berjalan, jangan kita melanggar undang-undang,” katanya.

Jelasnya lagi, hanya kesalahan seperti integriti atau bersifat dalaman boleh dilindungi dan dirahsiakan.

“Sama macam institusi diraja yang mana kes dalaman diselesaikan oleh Majlis Raja-Raja sahaka tanpa pengetahuan orang awam.

“Penjawat awam juga begitu tetapi jika melibatkan perkara selain itu, ia akan disiasat mengikut prosedur biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Fauzi yang juga pengasas Jurisprudens Watan ini juga berkata, kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mamat baru-baru ini dilihat telah disalah tafsir beberapa pihak.

“Apa yang diungkapkan oleh Yang Arif adaah kegusaran beliau terhadap prasangka yang dilemparkan terhadap badan kehakiman.

“Beliau mahu mengelakkan lebih banyak tohmahan kepada badan kehakiman yang sepatutnya menjadi badan paling dipercayai.

“Kita semua faham, kes masih dalam siasatan dan seharusnya kita menunggu apakah keputusan siasatan dan tidak memberi sebarang ulasan terhadap perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai persepsi negatif tercalit terhadap institusi kehakiman negara dan tukas Ketua Hakim Negara adalah membetulkan andaian bersifat provokatif.

“Saya melihat kenyataan itu lebih kepada mahu mengharmonikan semula keadaan. Kita perlu tunggu keputusan dan tidak boleh membuat andaian tersendiri,” katanya.

Sementara itu, pada minggu lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah menjalankan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menerusi laporan, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan itu adalah prosedur biasa selepas pihaknya menerima laporan rasmi terhadap Mohd Nazlan.

Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca di dalam akaun miliknya.

Susulan itu, kenyataan daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya menyifatkan, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. – MalaysiaGazette