Pusat hiburan yang dikesan menjual arak tanpa lesen sah tanpa duti eksais berjaya digempur polis PJ pada malam Ahad lalu.- Gambar Ihsan IPD PJ

KUALA LUMPUR – Tindakan berani sebuah pusat hiburan menjual arak tanpa lesen di Icon City, di sini diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima aduan awam mengenai aktiviti hiburan yang disalurkan menerusi media sosial.

Bertindak atas aduan pada pukul 11.15 malam, sepasukan pegawai dan anggota  polis menjalankan Op Cantas Khas dengan melakukan serbuan di premis hiburan yang terletak di Icon City.

“Hasil serbuan polis menjumpai seramai 13 lelaki dan 11 wanita yang sedang berhibur di dalam premis berkenaan. Justeru pasukan polis juga turut membuat pemeriksaan lanjut ke atas lesen hiburan dan hasilnya premis hiburan ini mempunyai lesen hiburan yang sah sebagaimana dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) serta menjalankan aktiviti perniagaan hiburan sebagaimana syarat lesen  dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

bagaimanapun, tambah Mohamad Fakhrudin, hasil pemeriksaan mendalam polis berjaya mengesan kesalahan lain oleh pihak premis hiburan berkenaan apabila terlibat dalam penjualan minuman keras tanpa lesen dan tindakan mengikut Akta Eksais 1976.

Sementara itu, katanya, Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya sebelum ini sudah melakukan  dua serbuan di premis yang sama pada  Ogos dan Oktober 2021 menerusi risikan dan aduan awam yang diterima.

“Polis mengambil tindakan ke atas premis hiburan serta pelanggan dalam pelbagai kesalahan yang membabitkan kesalahan premis beroperasi dengan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Penyakit Berjangkit dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah,” katanya.

Katanya, kesemua kesalahan ini diambil tindakan di mahkamah berlunaskan undang-undang yang diperuntukan.-MalaysiaGazette