KUALA LUMPUR – Bekalan air bersih di 472 kawasan dijangka mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada premis pengguna bermula jam 9 malam tadi dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi esok.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air, kata Air Selangor.

Kawasan-kawasan tersebut mengalami gangguan bekalan air selepas henti tugas sementara Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) dan Loji Rawatan Bukit Tampoi (LRA Bukit Tampoi) berikutan insiden pencemaran yang telah dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

”LRA Sg Semenyih sudah mula beroperasi pada jam 3:30 petang hari ini dan proses rawatan air sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan air bersih dan terawat dapat dibekalkan kepada para pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, bagi kawasan-kawasan terjejas yang menerima bekalan air dari LRA Bukit Tampoi, pihak Air Selangor akan mengaktifkan sumber bekalan air alternatif dari LRA Sg Semenyih bagi kegunaan para pengguna. – MalaysiaGazette