Mas Rika melepaskan rindu terhadap anak lelakinya Syafiq Aditya Ababil selepas hampir tiga tahun menahan rindu terpisah di Balai Ketibaan ICQS, Melaka hari ini.

MELAKA – Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Kota Laksamana, di sini, kembali sibuk selepas dua tahun ditutup akibat Covid-19 menyaksikan pelbagai episod air mata melepas rindu bagi mereka yang terpisah setelah sekian lama.

Antara yang mencuri tumpuan termasuk seorang ibu, Mas Rika Sukemi, 44, yang hampir tiga tahun menahan rindu terpisah dengan anak sulungnya, Syafiq Aditya Ababil Siyatno, 22, akibat penutupan pintu sempadan negara sejak 18 Mac 2020 berikutan penularan virus tersebut.

Menurut Mas Rika, dia tidak menyangka, sambutan Aidilfitri kali ini diraikan penuh makna selepas sekian lama menanggung rindu pada anak lelakinya itu yang terkandas di Dumai dan tidak dapat menetap bersamanya dan suami serta dua lagi anak lelaki mereka di Kampung Melayu Subang, Selangor.

“Bila dapat tahu sahaja feri Dumai ke Melaka dibenarkan beroperasi akhir April lalu, saya terus meminta anak beli tiket kerana terlalu rindu padanya lebih-lebih lagi dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri.

“Sejak malam tadi, memang saya tak boleh tidur mendoakan agar perjalanan anak dipermudahkan dan kerana begitu teruja kami sekeluarga bertolak seawal pukul 6 pagi dari Selangor untuk ke sini,” katanya ketika ditemui di Balai Ketibaan ICQS, di sini, hari ini.

Menurutnya, sejak terpisah dengan anak sulungnya itu yang dijaga neneknya di Indonesia selepas tamat sekolah Tingkatan Lima, perpisahan tiga tahun lalu adalah paling lama kerana sebelum ini Shafiq akan pulang dan sesekali tinggal bersamanya.

“Selama tiga tahun terpisah sejak 2019, hanya panggilan video melalui WhatsApp menjadi pengubat rindu kerana pelaksanaan PKP membuatkan anak tidak dapat pulang ke Selangor.

“Tapi hari ini saya tak dapat menahan sebak kegembiraan apabila dapat memeluk erat melepaskan rindu pada anak menjadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna,” katanya sebak.

Selain Mas Rika, tinjauan wartawan MalaysiaGazette juga mendapati ‘drama’ air mata berlaku pada beberapa keluarga selain majikan dan pembantu rumah yang dilihat saling melepaskan rindu setelah sekian lama terpisah. – MalaysiaGazette