Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing masih menjadi pembeli bersih bagi minggu berakhir 30 April yang menyaksikan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM131.2 juta.

Pelabur runcit mengekalkan kedudukan belian kepada RM58.8 juta manakala pelabur institusi meneruskan aliran jualan sebanyak RM190 juta minggu lalu.

Sehingga kini, pelabur antarabangsa menjadi pembeli bersih selama 14 daripada 17 minggu pada tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7.3 bilion.

Mereka adalah pembeli bersih dalam minggu lalu kecuali pada hari Isnin dengan aliran keluar RM44.3j.

Aktiviti belian bersih terutamanya berlaku pada hari Selasa dan Khamis dengan aliran masuk masing-masing RM 71.6 juta dan RM70.7 juta.

Sebaliknya, pelabur institusi adalah pembeli bersih hanya pada hari Jumaat sebanyak RM22.3 juta.

Pelabur institusi telah menjadi penjual bersih selama 12 minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 11 Februari dan telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 17 minggu tahun ini.

Sehingga kini, mereka telah menjual sebanyak RM8.0 bilion.

Pergerakan pelabur runcit kekal bercampur-campur minggu lepas dengan belian bersih selama tiga hari dari Isnin hingga Rabu dan jualan bersih pada hari Khamis dan seterusnya.

Setakat ini, pelabur runcit menjadi pembeli bersih sebanyak RM672.7 juta.

Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) sebanyak 5.56% diikuti oleh institusi tempatan dan peruncit tempatan masing-masing pada 3.62% dan 2.26%. – MalaysiaGazette