KUALA LUMPUR – Tular di media sosial video kelibat seorang lelaki yang didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam berada di sebuah kelab malam.

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan akaun Zaharin Mohd Yassin berkongsi video membabitkan individu tersebut sejak 2 Mei lalu.

“Aku di disko. Dibintangi pelakun utama. Datuk Haji A**** A* K*****. Babak dalam disko gaya orang kena ice,” kata Zaharin.

Video berdurasi 3 minit 24 saat itu menampilkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di kiri dan kanan beliau.

Lelaki itu kelihatan beraksi seperti sedang mengetuk dram dengan muzik latar yang bising.

Sementara itu, seorang penggiat agama melalui Facebooknya, Ustaz Ahmad Husam Baderudin mendakwa, penasihat agama tersebut diserang kerana beliau begitu kuat bersuara menentang fahaman ‘Wahabi’ di Malaysia.

Menurutnya, mana-mana individu yang menentang fahaman tersebut akan diserang bertubi-tubi dengan tujuan untuk membunuh karekter individu terbabit.

Tambah Ahmad Husam, beliau turut menjadi mangsa apabila video penerangannya mengenai penasihat agama itu telah dipotong dan diedit sehingga mendatangkan kekeliruan dan fitnah.

“Fikirkan dengan akal yang sihat, ceramah selama 1 Jam 32 minit 47 saat dipotong hanya 40 saat? Tujuan untuk apa lagi kalau bukan untuk memfitnah? Allahukabar.

“Inilah kerja golongan yang mendabik dada sebagai penyebar sunnah tetapi mereka adalah penyebar fitnah.

“Saya memaafkan semua kesalahan rakan-rakan netizen yang termakan fitnah ini yang memaki dan menghina saya,” katanya.

Sehingga kini lelaki yang didakwa sebagai penasihat agama tersebut tidak tampil untuk memberi penjelasan sama ada video tersebut sahih atau fitnah.

Sikap berdiam diri individu tersebut membuatkan lebih banyak spekulasi ditimbulkan.

Cubaan MalaysiaGazette untuk mendapatkan kenyataan daripada beliau dengan cara menghubungi dan menghantar mesej sehingga pukul 4 petang tadi turut gagal.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kalau ada tujuan untok fitnah boleh saja berlakun cari orang yang seiras kemudian lakun kanlah . Ambil vedio sebar dialami maya

  2. Kalau ada tujuan untok fitnah boleh saja berlakun cari orang yang seiras kemudian lakun kanlah . Ambil vedio sebar dialami maya . Hati dia pun puas lah bila orang bercakaran

Comments are closed.