JOHOR BAHRU – Isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak wajar dikaitkan dengan sentimen kaum untuk menutup isu sebenar.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, dakwaan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan isu kelewatan itu sudah memulakan naratif kononnya Kerajaan Madani tidak mahu bayar kontraktor Melayu atau mahu menghalang pembangunan jalan luar bandar.
“Faktanya mudah, KKDW buat komitmen melebihi peruntukan yang diluluskan. Tiga tahun berturut-turut, 2023 hingga 2025, lebihan itu sekitar RM700 juta setahun.
“Sekarang MoF (Kementerian Kewangan) sudah lulus tambahan RM300 juta untuk bantu selesaikan tunggakan kontraktor, malah kementerian lain pula terpaksa dicari ruang penjimatan untuk menampung lebihan komitmen KKDW.
“Jadi jangan main dan kaitkan sentimen kaum untuk tutup isu sebenar. Yang terlebih belanja KKDW tapi yang kena ikat perut kementerian lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika timbalan perdana menteri dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh merasakan peruntukan KKDW tidak cukup atau ada masalah bayaran kontraktor, mereka boleh bertemu perdana menteri.
Jelasnya, kedua-duanya boleh duduk semeja dan selesaikan masalah itu apatah lagi Ahmad Zahid berada dalam jemaah menteri Kabinet Persekutuan.
“Bukannya susah nak jumpa, sama-sama dalam Kabinet. Serang PMX dan MoF pasal apa,” soalnya.
Selasa lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, isu kelewatan tersebut tidak sepatutnya berlaku sehingga menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
Sebelum itu, Akmal menuntut kerajaan menjelaskan sama ada wujudnya kekangan kewangan ataupun agenda lain yang menyebabkan hampir RM1 bilion peruntukan yang telah diluluskan untuk projek KKDW didakwa masih belum disalurkan.
Beliau dilaporkan berkata, perkara itu membabitkan projek KKDW yang telah dirancang, dibajetkan serta diberikan kepada kontraktor. – MalaysiaGazette
















