BUKIT MERTAJAM – Mangsa kejadian tembakan di sebuah bengkel kenderaan terpakai di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok di sini, semalam, kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 43 tahun yang mengalami luka di tapak tangan kanan serta patah tulang di bahagian berkenaan itu masih menerima rawatan di hospital.
“Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Nik Aminuddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Muazzam Shaaban di talian 017 482 5017.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN
Ditembak ketika di bengkel, mekanik panjat pagar selamatkan diri
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki cedera di tapak tangan kanan selepas dipercayai ditembak ketika berada di sebuah bengkel di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok.
Dalam kejadian jam 1.05 tengah hari itu, mangsa dikatakan didatangi dua lelaki menaiki motosikal sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arahnya.
Mangsa kemudian melarikan diri kira-kira 50 meter ke kawasan berhampiran perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri. – MalaysiaGazette
















