Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

KUALA LUMPUR – Sapura Energy Bhd (SEB) hari ini mengumumkan bahawa Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor telah meletak jawatan sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif syarikat itu berkuat kuasa esok.

SEB dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu tokoh korporat berusia 73 tahun itu meletak jawatan untuk mengejar kepentingan lain.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu menambah beliau juga akan berhenti menjadi pengerusi jawatankuasa pencalonan serta imbuhannya pada 7 Mei.

Baru-baru ini, SEB telah melantik Datuk Mohammad Azlan Abdullah sebagai pengerusi baharu, berkuat kuasa 7 Mei 2022 bagi menggantikan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas, yang akan bersara pada tarikh yang sama, apabila mencapai usia 70 tahun.

Permodalan Nasional Bhd, pemegang saham terbesarnya dengan 12.16 peratus kepentingan ekuiti berkata ia menantikan kepimpinan Mohammad Azlan dalam mengemudi SEB melalui proses penstrukturan semula dan pemulihan syarikat.

SEB melaporkan kerugian bersih sebanyak RM8.90 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022 berbanding kerugian bersih berjumlah RM160.87 juta pada tahun sebelumnya.

Pada tahun kewangan 2022, firma berkenaan telah membuat peruntukan untuk rosot nilai muhibah atas penyatuan sebanyak RM3.29 bilion serta peruntukan rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan berjumlah RM2.32 bilion. – Bernama