KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad terkejut kes saman bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap beliau dan kerajaan Malaysia diselesaikan di luar mahkamah.
Menurut Ahli Parlimen Pulau Langkawi itu, sebagai saksi utama dia tidak diberitahu tentang penyelesaian berkenaan.
Dr. Mahathir berkata, beliau telah menulis surat kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun menyatakan tidak bersetuju dengan penyelesaian yang dilakukan.
Menurut Dr. Mahathir, kerajaan tidak sepatutnya tunduk terhadap tuntutan yang dibuat oleh Mohamed Apandi.
“Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian di luar mahkamah dibuat diantara kerajaan dan Mohamed Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.
“Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama. Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat.
“Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak faham mengapa terma penyelesaian perlu dirahsiakan.
Tambahnya, rakyat perlu tahu terma tersebut lebih-lebih lagi jika ia melibatkan sebarang pembayaran pampasan.
“Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip rule of law.
“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.
“Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” kata Dr. Mahathir.
Pada 13 April lalu media melaporkan saman yang difailkan Mohamed Apandi terhadap Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguam Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi selaku plaintif dalam saman itu, bagaimanapun berkata, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.
Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.
Dalam pernyataan tuntutan, Mohamed Apandi, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama (Dr Mahathir) telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.
Mohamed Apandi juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai Peguam Negara adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.-MalaysiaGazette