Kajang Hulu Langat tahfiz centre madrasah bully bullies Mohd Zaid Hassan
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. PIX: HAFIZ SOHAIMI / MalaysiaGazette / 28 JUNE 2021. Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan. Foto HAFIZ SOHAIMI, 28 JUN 2021.

KAJANG – Seorang wanita mati dipukul suami yang berang apabila mendapati isterinya memuat naik gambar skandal lelaki itu dengan wanita lain di laman media sosial pada hari terakhir Ramadan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, semasa kejadian suspek dan mangsa dipercayai berada di dalam rumah melakukan persiapan akhir menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kata beliau, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang yang menerima pesakit wanita berumur 28 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dari suami mangsa dan disahkan telah meninggal dunia pada jam 9.16 pagi Ahad lalu.

“Setelah dibuat pemeriksaan luaran ke atas mangsa terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa selain kematian mangsa mencurigakan dan disyaki mangsa telah dipukul.

“Hasil postmortem yang dijalankan pada Isnin lalu jam lebih kurang 11 pagi didapati punca kematian adalah kecederaan abdomen disebabkan hentakan kuat dengan menggunakan senjata tumpul,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa merupakan peniaga produk kosmetik secara dalam talian.

Tambah beliau, hasil siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi Ahad lalu di sebuah flat di Taman Koperasi Maju Jaya, Cheras yang mana mangsa telah dipukul suspek dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul.

Bertindak atas maklumat, menurut Mohd Zaid, polis telah menahan reman suami kepada mangsa, 38, yang bekerja sebagai mekanik kereta sehingga 8 Mei ini bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Katanya, siasatan kes menemukan bukti dan keterangan yang mengaitkan suspek terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu dan kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Selangor.

“Setelah meneliti kertas siasatan Timbalan Pendakwa Raya Selangor bersetuju menuduh saspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek akan dituduh pada 9 Mei ini di Mahkamah Majistret Kajang,” ujarnya. – MalaysiaGazette