Pemain JDT merikan kemenangan selepas berjaya menewaskan pasukan Ulsan Hyundai FC sekaligus melayakan diri ke pusing 16 terbaik pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 30 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kemenangan penuh debaran Johor Darul Ta’zim (JDT) yang melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas menundukkan Ulsan Hyundai FC 2-1 baru-baru ini, ternyata memberi sinar baharu buat Liga Malaysia.

Kekalahan skuad Korea Selatan itu di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru memberikan ruang JDT merangkul juara kumpulan selepas meraih kemenangan keempat sekali gus melonjakkan tangga Malaysia dalam AFC MA Ranking.

Menerusi perkongsian Footy Ranking di laman sesawangnya, kemenangan tersebut melonjakkan Malaysia pada tangga keempat dalam zon Asia Timur iaitu di bawah Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

Pungutan mata sebanyak 35.020 itu meletakkan Liga Malaysia ke tangga pertama di Asia Tenggara dengan menewaskan Thailand dan Vietnam.

Dalam perkongsian sama, Malaysia secara keseluruhannya menduduki tangga kesepuluh di Asia dengan mengekori rapat Jordan dan Hong Kong yang masing-masing mengutip 40.490 dan 47.918 mata.

Sehubungan itu, JDT dilihat memberi laluan mudah untuk kelab Liga Super Malaysia bertanding di pentas ACL selepas lonjakan kedudukan itu menambahkan empat slot ke pentas tersebut.

Daripada empat slot itu, dua pasukan perlu melalui peringkat play-off manakala dua pasukan layak ke pusingan peringkat kumpulan secara automatik. – MalaysiaGazette