Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan tidak berubah minggu depan di tengah-tengah sentimen berhati-hati berikutan kebimbangan berterusan terhadap langkah mengetatkan kadar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan unjuran prospek ekonomi suram oleh Bank of England (BOE).

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkat, bursa tempatan dijangka bergerak seiring dengan ekuiti global yang dijangka tidak menentu dalam tempoh terdekat ini.

“Ini kerana bank-bank pusat di seluruh dunia sedang meningkatkan rizab mereka untuk mengekang tekanan inflasi,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, beliau berkata, perbezaan dasar monetari seperti di China dan Jepun juga membayangkan sentimen yang bercampur-baur terhadap prospek pertumbuhan global tahun ini.

“Pelabur institusi nampaknya akan kekal melabur dalam instrumen seperti tunai. Dalam erti kata lain, mereka akan kekal defensif menghadapi keadaan tidak menentu,” katanya.

Tumpuan akan terarah kepada penilaian ekonomi terkini oleh Bank Negara Malaysia pada minggu depan termasuk data keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2022.

“Justeru, FBM KLCI dijangka kekal berada dalam jajaran kecil sekitar 1,564 hingga 1,574 mata minggu depan,” kata Mohd Afzanizam.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup dari 2-4 Mei sempena cuti ganti Hari Pekerja dan cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah di tengah-tengah prestasi negatif di pasaran serantau dan penurunan di Wall Street apabila hasil 10 tahun Amerika Syarikat melonjak melepasi paras 3.0 peratus.

Bagi asas mingguan, FBM KLCI turun 36.09 mata untuk ditutup minggu ini pada 1,564.34 daripada 1,600.43 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBMT100 susut 264.99 mata kepada 10,855.51, Indeks FBM Emas Shariah turun 328.53 mata kepada 11,693.75, Indeks FBM Emas berkurangan 260.52 mata kepada 1,205.56, FBM ACE jatuh 81.41 mata kepada 5,497.26 dan FBM 70 menguncup 386.11 mata kepada 13,386.07.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 287.91 mata kepada 8,533.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 5.93 mata kepada 204.10, bagaimanapun Indeks Tenaga menambah 22.43 mata kepada 796.17.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 250.97 mata kepada 16,675.83, Indeks Penjagaan Kesihatan turun 38.72 mata kepada 2,011.10 dan Indeks Teknologi jatuh 3.45 mata kepada 67.88.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 5.79 bilion unit bernilai RM4.81 bilion daripada 12.90 bilion unit bernilai RM10.72 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 3.53 billon saham bernilai RM4.41 bilion daripada 8.49 bilion saham bernilai RM9.71 bilion.

Jumlah dagangan waran menguncup kepada 726.98 juta unit bernilai RM130.71 juta berbanding 1.76 bilion unit bernilai RM315.60 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 1.52 bilion saham bernilai RM272.69 juta daripada 2.62 bilion saham bernilai RM686.84 juta pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast