Gelagat Orang awam menunggang e-skuter di bahu jalan sehingga membahayakan keselamatan dan pengguna jalan raya yang lain ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.

PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong sekali lagi mengulangi amaran supaya pengguna skuter elektrik atau e-skuter berhenti menunggang kenderaan itu di atas jalan raya atau berdepan dengan tindakan undang-undang tegas.

Menurutnya, sehingga semalam pihak media menghantarnya video penggunaaan e-skuter masih lagi banyak di atas jalan sehingga menyusahkan pengguna kenderaan yang lain.

“Masih lagi ramai berkeliaran dengan e-skuter di atas jalan sehingga kereta pula yang terpaksa memberi laluan pada mereka. Golongan ini langsung tidak beri muka kepada pemandu lain mahupun patuh undang-undang.

“Kita sudah keluarkan kenyataan yang jelas, e-skuter tidak boleh digunakan atas jalan, penting untuk patuhi undang-undang.

“Ada yang tanya-tanya juga kepada saya mengapa pula kerajaan haramkan e-skuter atas jalan, saya tidak kata betul atau salah. Saya hanya cakap gunalah kenderaan itu di tempat khas dan bukan di atas jalan raya. PBT boleh sediakan laluan khas, saya tiada masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri hari ini.

Namun, kementerian itu tidak akan sesekali membenarkan e-skuter digunakan di atas jalan raya.

“Jika dilanggar sehingga cedera atau mati, siapa bertanggungjawab? Insurans siapa? Siapa yang kita akan salahkan? Janganlah tunggu sehingga sesuatu yang buruk berlaku,” tegas beliau.

Tambah Ka Siong, tidak timbul soal penindasan kerana larangan itu dilakukan kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Sebelum ini kerajaan sudah mengeluarkan arahan penggunaan e-skuter di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan adalah dilarang dan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Penggunaanya hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah. -MalaysiaGazette