TUMPAT – Kerajaan Kelantan meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meneruskan perkhidmatan tren ekspres khas sempena perayaan bagi mengurangkan kesesakan trafik di negeri itu apabila perantau pulang ke kampung halaman.
Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata, inisiatif tersebut dapat memenuhi permintaan perantau yang mencari kaedah alternatif untuk pulang ke kampung semasa cuti sambutan perayaan di negara ini.
“Kita sedia maklum aliran trafik di Kelantan sentiasa sesak terutamanya pada musim cuti perayaan, jadi dengan adanya tren ekspres khas ini ia membantu mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia yang mendapat permintaan tinggi daripada perantau boleh dijadikan sebagai kayu pengukur untuk KTMB meneruskan inisiatif menyediakan perkhidmatan tersebut pada sambutan perayaan akan datang.
“Selain harga tambang berpatutan, tren khas ini menjadi pilihan dan mendapat sambutan berikutan dilengkapi kemudahan seperti koc tempat tidur, tandas dan kafe bagi memberikan keselesaan kepada penumpang.
Sementara itu, Mohd Zain berkata Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia menawarkan sebanyak 696 tempat duduk bagi laluan Tumpat ke KL Sentral dijangka tiba pada 3.04 petang hari ini.
“Mengikut rekod kami sebanyak 803 tiket terjual, ia melebihi tempat duduk yang ditawarkan berikutan terdapat penumpang yang turun dan naik di beberapa sektor di sepanjang laluan itu.
“Kami sedang melakukan kajian untuk meneruskan perjalanan tren ekspres khas ini berikutan mendapat permintaan,” katanya.
Tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia berlepas dari KL Sentral telah membawa seramai 815 penumpang pulang berhari raya ke Kelantan pada 29 April. – MalaysiaGazette