Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah bercakap menunjukkan Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat 2022 di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merangka 14 Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022 dengan kos sekitar RM10 juta bagi menangani masalah tersebut dengan segera.

Pelan tindakan itu melibatkan 25 lokasi hotspot banjir yang telah dikenal pasti.

Kawasan itu ialah di Jalan Antoi, Kepong, Jalan Pintasan Segambut, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Lebuh Ampang, Jalan Kuching, Jalan Segambut dan Dataran Merdeka.

Selain itu, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Bulatan Dato’ Onn, Jalan Pudu, Jalan Travers, Jalan Tun Sambanthan Brickfields, Jalan Pantai Baharu, Jalan Maarof dan Jalan Maharajalela turut menjadi lokasi hotspot banjir.

Antara hotspot lain di Jalan Semantan, Jalan Bruas, Kampung Pasir, Kampung Periuk, Kampung Kasipillay dan kawasan berhadapan Balai Polis Salak Selatan.

Mahadi Che Ngah

Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pelaksanaan pelan tindakan ini akan berpandukan kepada ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pelan tindakan yang akan dilaksanakan itu bakal memastikan saluran keluar air larian ke longkang tepi jalan tidak tersumbat atau terhalang dari sampah sarap, kabel serta paip utiliti.

Seterusnya, DBKL juga akan melebarkan scupper drainĀ sedia ada kepada ukuran saiz yang lebih besar selain memastikan kecerunan saluran air dalam keadaan memuaskan.

Pelan itu turut melibatkan 100 warden trafik akan ditempatkan di hotspot banjir kilat bagi memastikan kelancaran trafik dengan membantu pengguna jalan raya membuat lencongan ke arah kawasan yang lebih selamat.

”Bagi menjayakan usaha itu, DBKL akan mengenal pasti laluan lencongan sementara yang perlu dibina agar dapat mengelakkan pengguna trafik terperangkap dalam banjir kilat.

”Malah, bermula 6 Mei lalu, sebanyak 2,000 guni pasir telah ditempatkan di kawasan rendah di tepi sungai sebagai langkah awal sebelum tembok banjir siap dibina,” katanya pada sidang media di sini.

DBKL juga telah mengarahkan kontraktor terlibat untuk memastikan sungai, longkang monson dan saluran air tidak dihalang oleh sampah, akar pokok dan tumbuhan liar.

Mengulas lanjut, DBKL telah mengambil inisiatif mengiytiharkan lebih banyak kawasan Zon Bebas Sampah, selain empat kawasan yang telah diumumkan iaitu di Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kawasan Little India.

Beliau menambah, pelan itu turut mengambil kira tindakan kompaun sebanyak RM500 bagi setiap kesalahan kepada mana-mana orang awam yang membuang sampah di kawasan ini.

Bagi memastikan warga kota sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi banjir, DBKL akan mengeluar mesej amaran banjir kilat menerusi telefon bimbit masing-masing mulai penghujung Mei ini.

”Mesej amaran tersebut akan diterima terlebih dahulu oleh pengguna aplikasi MOBIS DBKL bermula esok,” ujarnya.

Mahadi berharap segala usaha yang dirancang DBKL mendapat kerjasama warga kota seperti tidak membuang sampah di merata-rata tempat yang boleh menyumbang kepada berlakunya banjir kilat. – MalaysiaGazette