Khairul Dzaimee Daud menyapa seorang pelanggan selepas sidang media berkenaan Permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa di Pejabat Pasport Jabatan Imigresen, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 09 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melanjutkan waktu operasi di semua pejabat pengeluar pasport negeri dan cawangan terpilih di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa pada 11 Mei ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pelanjutan waktu operasi itu sehingga jam 10 malam akan melibatkan Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Walau bagaimanapun, bagi Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Kelantan dan Perlis waktu operasi sehingga jam 6 petang.

“Bagi semua UTC di seluruh Semenanjung Malaysia pula, waktu operasi sehingga jam 10 malam.

“Manakala semua pejabat pasport di Semenanjung Malaysia akan beroperasi pada Sabtu bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari bermula 14 Mei ini,” katanya pada sidang media di Menara Ikhlas, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang akan menjalankan ibadah haji boleh terus hadir ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada Tabung Haji.

“Kaunter khas disediakan bagi tujuan pengeluaran pasport bagi menjalankan ibadah haji,” katanya.

Sementara itu, semua urusan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di seluruh negara pertu dibuat melalui sistem online kecuali permohonan baharu, kategori warga emas, OKU, kanak-kanak 13 tahun ke bawah, jemaah haji, pelajar serta telah rosak atau hilang.

“Pemohon yang mempunyai masalah cap jari masih boleh meneruskan permohonan sehingga proses bayaran dan pemohon boleh hadir terus ke pejabat pemungut yang dipilih bagi pengambilan semula cap jari.

“Pemohon juga dibenarkan untuk membuat pungutan PMA selain daripada pejabat pemungut yang dipilih selagi PMA tersebut masih belum dicetak.

“Kelulusan itu boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari bekerja menerusi notifikasi yang dihantar kepada e-mel dan pemohon boleh hadir ke pejabat pemungut sekiranya tidak mendapat notifikasi selepas tempoh tersebut.

“Pembaharuan PMA secara online ini boleh dilayari melalui laman web: https://imigresen-online.imi.gov.my/eservices/myPasport,” katanya lagi. – MalaysiaGazette