Adenan (tengah) menunjukkan lesen memandu palsu yang dirampas pihaknya dalam Ops Hari Raya di sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

SEBERANG PERAI  – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang telah mengesan seorang penunggang motosikal yang menggunakan lesen memandu palsu dalam Ops Hari Raya baru-baru ini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, lelaki berusia 20 tahun itu mengakui membeli lesen berkenaan dengan harga lebih RM1,000 pada tahun lalu dan lesen itu kononnya sah digunakan sehingga tahun 2026.

“Memang kita nampak seakan sama lesen memandu palsu yang digunakan lelaki terbabit namun pemeriksaan teliti yang dilakukan termasuk semakan di dalam sistem akhirnya mengesahkan perbuatan lelaki tidak bertanggungjawab itu.

“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengesan dari mana dia membeli lesen palsu terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menggunakan dokumen palsu,” ujarnya katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ negeri  hari ini.

Selain itu, Adenan berkata, pihaknya telah mengeluarkan 1,241 notis kompaun membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tempoh penguatkuasaan Ops Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei lalu.

Menurutnya, tiada lesen memandu merupakan kesalahan paling banyak dikesan dengan jumlah 425 kes, diikuti 313 kes tidak mempunyai cukai jalan, 225 kes melibatkan kesalahan teknikal.

Sebanyak 153 saman atas kesalahan utama dikeluarkan iaitu merangkumi memotong Q secara berbahaya, tidak patuh lampu isyarat, guna lorong kecemasan dan gunakan telefon bimbit serta memandu di lorong kanan secara berterusan,” katanya.- MalaysiaGazette