Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah) diiringi Menteri Kewangan, Datuk seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) menyaksikan Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail (depan, kiri) melakukan penukaran dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar (depan, kanan) pada Majlis Pertukaran Dokumen Cloud Framework Agreement (CFA) di Zenith Hotel, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Perkhidmatan bersepadu dikenali sebagai government hybrid cloud atau MyGovCloud bakal melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan.

MyGovCloud merupakan perkhidmatan yang dinaiktaraf daripada Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (CLOUD).

Ia menggabungkan perkhidmatan MyGovCloud@PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider (CSP).

Bagi memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, Perjanjian Kontrak Berpusat Pengkomputeran Awan dikenali sebagai Cloud Framework
Agreement (CFA) telah dimeterai antara Kerajaan dengan CSP hari ini.

Turut serta syarikat penyedia perkhidmatan CLOUD Bumiputera
tempatan lantikan CSP dikenali sebagai Managed Service Provider
(MSP).

Kontrak CFA bersama-sama Kerajaan, CSP dan MSP melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn. Bhd.,Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad.

Empat syarikat MSP terdiri daripada Cloud Connect Sdn. Bhd., Enfrasys Solutions Sdn. Bhd., Radmik Solutions Sdn. Bhd. dan Awantec System Sdn. Bhd.

Majlis pertukaran perjanjian yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berlangsung di sebuah hotel di sini hari ini.

“Inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP.

“Ini juga dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

“Melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan CLOUD yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan.

Inisiatif MyGovCloud seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara.

Pemilihan CSP dibuat selepas syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan dalam dan luar negara mengemukakan cadangan sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak.

Tambah Ismail Sabri, penglibatan CSP dan MSP dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

Pelaburan tersebut akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN.

Dengan termeterai perjanjian tersebut, Ismail Sabri berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia.-MalaysiaGazette