Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam di seluruh negara menurun sebanyak 27 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan itu direkodkan bagi setiap 100,000 penduduk pada Minggu Epidemiologi (ME) 18/2022 berbanding ME 17/2022.

Selain itu, katanya, kadar kemasukan pesakit ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga menurun 50 peratus melibatkan kategori 1, 2, 3, 4 dan 5.

“Secara keseluruhan, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 menurun pada ME 18/2022 berbanding ME 17/2022, yang mana penggunaan katil bukan kritikal menurun 21 peratus, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun 20 peratus dan penggunaan katil PKRC menurun 100 peratus.

“Bagi kes positif masih dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut beliau, perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan antara ME 17/2022 dan ME 18/2022 adalah bilangan kedatangan pesakit menurun 57.7 peratus, manakala bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah juga menurun 59.7 peratus.

Noor Hisham berkata, bilangan kes Covid-19 yang dirujuk oleh CAC ke PKRC atau hospital turut menurun 44.3 peratus.

Beliau turut melaporkan perbandingan data CAC maya antara ME 17/2022 dan ME 18/2022, yang juga menunjukkan trend penurunan.

Katanya, trend kes aktif Covid-19 di bawah pemantauan CAC Maya pada ME 18/2022 menurun sebanyak 54.9 peratus iaitu 259,882 kes kepada 117,248 kes berbanding ME 17/2022.

Mengenai status terkini Covid-19, Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 iaitu ME 4/2020 hingga 7 Mei lalu (ME 18/2022), situasi terkini adalah kumulatif kes baharu bertambah kepada 4,456,736 kes dengan 4,397,881 kes sembuh.

“Kes kematian sehingga semalam meningkat kepada 35,579 kes dan kumulatif kluster sebanyak 7,010 termasuk 71 kluster aktif.

“Bilangan kes sembuh pada ME 18/2022 menurun 45.1 peratus iaitu 56,352 kes kepada 30,930 kes berbanding ME 17/2022, katanya.

Kata beliau, bagi bilangan kes baharu pada ME 18/2022 menurun 58.3 peratus iaitu 20,937 kes kepada 8,732 kes, dengan kes tempatan turun 58.3 peratus dan kes import menurun 52.5 peratus. – MalaysiaGazette