BANGKOK – Skuad badminton lelaki Malaysia memulakan kempen pusingan Akhir Piala Thomas 2022 dengan penuh bergaya setelah membenam England 5-0 dalam saingan peringkat pembukaan Kumpulan D di Impact Arena, di sini, hari ini.

Jaguh perseorangan Malaysia, Lee Zii Jia terbukti terlalu kuat sebagai tandingan Toby Penty apabila berjaya mendahului dengan selesa 8-0 pada peringkat awal permainan pembukaan sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-10, dan set seterusnya 21-15, sekali gus meletakkan pasukan negara 1-0 mendahului lawan.

Pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menggukuhkan kedudukan Malaysia apabila berjaya mengatasi cabaran sengit Ben Lane-Sean Vendy pada set kedua.

Bagaimanapun, beregu nombor satu negara itu terpaksa berhempas pulas setelah tewas 19-21 dalam set pertama, sebelum berjaya bangkit dan menundukkan pasangan Inggeris itu dalam dua set berikutnya, 21-15, 21-16.

Bukan itu sahaja, perlawanan yang tertangguh lebih lima minit pada set kedua akibat masalah pencahayaan tidak menjejaskan momentum Aaron-Wooi Yik untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan selesa menentang England. – MalaysiaGazette