Operasi Bangunan Wisma Negeri di Ayer Keroh di sini ditutup selama empat hari susulan tingkat satu bangunan berkenaan terbakar sebelum dilimpahi banjir akibat percikan air dari sistem semburan air automatik.

MELAKA – Operasi Bangunan Wisma Negeri di Ayer Keroh di sini ditutup selama empat hari susulan tingkat satu bangunan berkenaan terbakar sebelum dilimpahi banjir akibat percikan air dari sistem semburan air automatik.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas yang berlaku sekitar pukul 8 malam tadi.

Menurutnya, kebakaran kecil di sayap kiri tingkat satu bangunan yang menempatkan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah (PDTMT) itu seterusnya telah mengaktifkan sistem semburan air automatik selama 11 jam sehingga kebakaran dipadamkan sebelum kejadian disedari jam 6.30 pagi tadi.

Rahmad Mariman

“Percikan air daripada sprinkler selama hampir 11 jam mengakibatkan lantai tingkat satu banjir dengan paras air setinggi tiga hingga empat inci sehingga turut meresap ke lantai konkrit sehingga menjejaskan tingkat bawah.

“Kerosakan turut berlaku di siling tingkat bawah dan lantai apabila sebahagiannya dilimpahi air namun ia tidak menjejaskan struktur utama bangunan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan lokasi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan kerosakan sebarang dokumen penting yang tersimpan dalam bilik kebal bangunan berkenaan.

Operasi Bangunan Wisma Negeri, Ayer Keroh di sini ditutup selama empat hari susulan tingkat 1 bangunan berkenaan terbakar sebelum dilimpahi banjir akibat percikan air daripada sistem semburan air automatik.

“Semua dokumen-dokumen penting di dalam bilik kebal tidak terjejas namun satu jawatankuasa khas akan dibentuk bagi menilai kerosakan di PDTMT yang mempunyai seramai 150 kakitangan.

“Anggaran kerugian juga masih belum dapat dipastikan namun berdasarkan pemerhatian ianya adalah minimum kerana hanya melibatkan kerosakan komputer dan bukannya struktur bangunan,” katanya.

Tambahnya, susulan itu operasi bangunan berkenaan akan ditutup sehingga Jumaat ini bagi kerja-kerja pembersihan.- MalaysiaGazette