Bermula esok, harga ayam segar siap potong di Melaka dijangka meningkat kepada RM9.70 sekilogram susulan upah potong dinaikkan daripada 60 sen kepada 80 sen.

MELAKA – Bermula esok, harga ayam segar siap potong di negeri ini dijangka meningkat kepada RM9.70 sekilogram susulan upah potong dinaikkan daripada 60 sen kepada 80 sen.

Perkara itu dimaklumkan beberapa peniaga selepas tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam di Bachang hari ini yang mendakwa rata-rata peniaga sepakat untuk menaikkan upah potong sebanyak 20 sen menjadi 80 sen berbanding 60 sen sejak 9 April lalu.

Keadaan ini menjadikan harga siling runcit RM8.90 sekilogram ayam standard yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga 5 Jun ini meningkat kepada RM9.70.

Peniaga ayam, Ghazali Abu Bakar,48, berkata, caj baharu itu dijangka diperkenalkan bermula esok selepas rata-raya peniaga ayam di negeri ini telah mengenakan kadar RM1 sekilogram bagi perkhidmatan memotong ayam.

“Kalau ikutkan kita masih patuh dengan harga siling runcit RM8.90 yang ditetapkan, cuma kami akan naikkan upah potong itu daripada 60 sen sebelum ini kepada 80 sen bermula esok.

“Lagipun, tempat lain banyak yang dah kenakan caj RM1 untuk potong ayam, jadi kami kenakan upah yang lebih rendah dan terpulang kepada pelanggan sama ada mahu beri kami upah, atau bawa pulang seekor ayam pada harga siling,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam di Bachang Melaka hari ini mendapati rata-rata peniaga sepakat untuk menaikkan upah potong sebanyak 20 sen menjadi 80 sen berbanding 60 sen sejak 9 April lalu.

Seorang lagi peniaga, Hamzah Osman, berkata, upah itu yang dikenakan itu dilihat mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara peniaga dan pelanggan dan pada masa sama mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

“Memang menjadi harapan kita untuk tak mahulah harga ayam ini naik sampai RM10 sekilogram, jadi ini salah satu cara untuk memastikan tidak berlaku krisis bekalan ayam sekiranya peniaga terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar ketika dihubungi berkata, kenaikan caj upah itu tidak menjadi kesalahan dan pihaknya tiada halangan untuk peniaga berbuat demikian.

“Tak salah sebab peniaga masih patuh pada harga siling runcit, tapi kalau pelanggan nak lebih mudah mereka boleh minta peniaga potong dengan upah dengan khidmat tambahan pada harga yang dipersetujui.

“Jadi ia terpulang kepada pengguna sama ada nak beli pada harga siling atau bayar upah yang mungkin dirasakan akan memudahkan mereka,”katanya.

KPDNHEP sebelum ini menetapkan harga siling runcit ayam standard RM8.90 sekilogram di Semenanjung bermula 5 Februari lalu.

Harga tersebut akan kekal sehingga 5 Jun ini iaitu selama 121 hari bagi menjamin kestabilan harga ayam dan juga makanan lain yang berkaitan.

Harga runcit RM8.90 itu merupakan penurunan kali ketiga selepas ditetapkan pada RM9.50 semasa perayaan Deepavali, RM9.30 ketika Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Disember 2021 serta RM9.10 semasa SHMKM dari 1 Januari hingga 4 Februari 2022.- MalaysiaGazette