GEORGE TOWN – Polis akan merakamkan keterangan ahli keluarga serta kekasih kepada seorang doktor pelatih yang ditemui maut selepas terjatuh di kediamannya di Datuk Keramat, di sini, pada 17 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, keterangan abang serta bapa mangsa akan dirakamkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut petang ini.

“Manakala keterangan kekasihnya akan dirakam di Nilai, Negeri Sembilan memandangkan dia berada di sana,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, keputusan hasil bedah siasat masih belum diperoleh setakat ini.

“Kita dalam usaha melengkapkan siasatan kes ini untuk tindakan lanjut,” jelas beliau.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, mangsa terjatuh dari tingkap bilik kediaman sewanya di aras 23, sebuah apartment di Jalan Dato Keramat, di sini.

Mangsa yang berusia 25 tahun itu merupakan graduan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut. – MalaysiaGazette