Home Nasional Polis tahan pemandu Myvi buat provokasi di jalan raya

Polis tahan pemandu Myvi buat provokasi di jalan raya

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang tular di media sosial kerana dipercayai membuat provokasi dan menghalang pemandu lain di jalan raya ditahan polis.

Suspek ditahan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 9 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek kini direman sehingga 13 Mei ini untuk siasatan.

“Rentetan dari video tular memaparkan tindakan suspek melakukan halangan terhadap pemandu lain, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) telah membuka siasatan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JSPT KL memohon mangsa dalam kejadian itu yang juga pemilik video dashcam untuk tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee bagi tujuan membantu
siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Inspektor M. Vigneswara di talian 0174336110 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette