Datuk Nur Azmi Ahmad. Foto: Majlis Olimpik Malaysia

HANOI – Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-31, Datuk Nur Azmi Ahmad mahu melihat setiap hari pingat emas berjaya diraih kem negara pada temasya sukan dwitahunan itu, di sini.

Beliau berkata, permulaan cemerlang dilakar skuad terjun kebangsaan yang telah menuai enam pingat emas, dengan dua lagi dijangka diraih hari ini diharap menyuntik semangat kepada barisan atlet yang bakal memulakan cabaran masing-masing.

“Selama tiga hari kita menerajui kedudukan teratas (carta pingat) dan ini memberi semangat dan peluang kepada atlet-atlet yang baru datang supaya memastikan setiap hari kita mempunyai pingat emas walaupun satu atau dua butir supaya sasaran 36 pingat emas tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra dan makan malam bersama media tempatan yang membuat liputan Sukan SEA ke-31 di sebuah hotel di sini, semalam.

Pusat Akuatik My Dinh di sini menjadi saksi kecemerlangan kem terjun negara yang merangkul emas masing-masing menerusi Nur Dhabitah Sabri dalam acara 1 meter (m) papan anjal wanita, gandingan Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang (3m papan anjal seirama lelaki) dan Tze Liang (1m papan anjal lelaki).

Sementara tiga emas lagi menjadikan keseluruhan enam disumbangkan pasangan Ng Yan Yee-Ong Ker Ying dalam acara 3m papan anjal seirama wanita, Yan Yee (3m papan anjal wanita) dan gandingan Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya dalam acara 10m platform seirama lelaki.

Dua pingat emas lagi dijangka diraih kem terjun menerusi acara 3m papan anjal lelaki disertai Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim dan 10m platform seirama wanita yang bakal digalas Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, beberapa pasukan berdepan masalah berhubung logistik setibanya di Hanoi yang berpunca daripada pihak penganjur bersama hotel penginapan atlet.

“Saya mohon maaf kepada semua yang terpaksa tunggu tiga hingga empat jam (sebelum dibenarkan masuk ke hotel) tetapi kita dapat selesaikannya secepat mungkin dan saya juga telah berjumpa dengan semua pasukan termasuk bola sepak,” katanya. – Bernama