KUALA LUMPUR – Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) memilih Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwi tahunan itu untuk edisi ke-34 pada 2027, umum Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi laman media sosial mereka hari ini.
Ini adalah kali ketujuh negara diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).
Keputusan itu dibuat selepas Ahli Majlis SEAGF bersetuju dalam mesyuarat yang berlangsung di sini, pagi tadi dengan pemilihan berdasarkan turutan abjad.
Mesyuarat berkenaan turut memilih Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke-35 pada 2029 yang juga buat kali kelima bagi negara jiran itu.
Keputusan untuk memilih tuan rumah bagi Sukan SEA 2031 ditangguhkan untuk membolehkan Laos mendapat kelulusan kerajaan mereka.
Indonesia juga berminat menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 atau 2029.
Namun susulan peraturan turutan abjad, mereka kini perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga 2031, sekiranya Laos masih tidak dapat mendapatkan kelulusan.
Kemboja dijadual menganjurkan temasya itu buat kali pertama dari 5 hingga 16 Mei tahun depan, manakala Thailand menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2025. – MalaysiaGazette