Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meneliti punca kejadian banjir kilat di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, semalm yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Pengerusinya, Oh Tong Keong turut membidas MBPP yang didakwa gagal mengurus dan memastikan sistem perparitan yang baik di lebuh raya kerana banjir kilat juga pernah berlaku di Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus sebelum ini.

Jelas beliau, situasi ini membangkitkan persoalan tentang keberkesanan sistem perparitan di lebuh raya tersebut yang merupakan antara jalan utama di bahagian pulau.

“Kita mengesyaki projek pembangunan di kawasan berhampiran telah mengakibatkan banjir kilat berlaku di lebuh raya ini.

“Namun, kerajaan negeri dan MBPP harus memandang serius isu ini demi keselamatan rakyat kerana banjir kilat di lebuh raya itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan trafik, tetapi akan mengakibatkan risiko berlakunya kemalangan.

“Oleh itu, kita gesa kerajaan negeri dan MBPP meneliti punca berlakunya banjir kilat di lebuh raya ini dan mendedahkan siasatan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, kerajaan negeri sering mendakwa mereka sudah melakukan infrastruktur bagi mengelakkan banjir di negeri ini namun kejadian yang berlaku tidak menggambarkan sedemikian.

“Kita tengok banyak kejadian banjir berlaku sejak kebelakangan ini tambahan pula di lokasi yang tidak sepatutnya berlaku atau tidak pernah dilaporkan berlaku,” kata beliau.

MalaysiaGazette semalam melaporkan aliran trafik di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, sesak lebih tiga kilometer akibat air bertakung di tengah lebuh raya itu susulan hujan lebat awal pagi.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam satu kenyataan media memaklumkan sehingga jam 9 pagi keadaan lalu lintas terkini di lebuhraya terbabit masih bergerak perlahan akibat insiden takungan air itu.

Jelasnya, air bertakung itu berpunca daripada sebuah tapak pembinaan bersebelah kawasan perumahan Mutiara Height. – MalaysiaGazette