Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada media ketika hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Tun Razak Institut Kemajuan Desa, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 12 MEI 2022.

BANGI – UMNO masih belum menentukan status kerjasama parti itu dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, setakat ini mesyuarat bagi membincangkan kerjasama itu masih belum diadakan.

“Belum lagi adakan mesyuarat bagi membincangkan (mengenai status Muafakat Nasional), saya sebut apa-apa keputusan parti akan buat,” katanya ketika majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Bangi, sebentar tadi.

Mahdzir diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kedudukan MN yang dibina UMNO bersama Pas pada 2019 akan dimuktamadkan tidak lama lagi oleh UMNO.

Semalam Mohamad berkata, apa-apa kenyataan daripada orang-orang dalam kedua-dua parti hanyalah bersifat pandangan semata-mata.

Mohamad turut berkata, segala keputusan akan dibuat oleh kepimpinan parti.

Ditanya mengenai debat perdana antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata,terpulang kepada kedua-dua mereka untuk berdebat sesama sendiri.

Ujarnya, kedua-dua figura politik itu sangat berpengalaman dalam bidang politik dan  tahu kehendak rakyat.

“Saya fikir biarlah mereka (Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar) berdebat.

“Kedua-duanya pernah menjawat jawatan tertinggi, seorang pernah jadi perdana menteri dan seorang lagi pernah jadi timbalan perdana menteri.

“Mereka tahu apa yang sepatutnya nak buat dan apa yang sepatutnya mereka cakap dan apa rakyat mahu pada waktu ini,” katanya lagi.

Berbaki beberapa jam lagi, Anwar dan Najib akan sepentas di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic).

Debat ini diadakan selepas kedua-dua pemimpin itu sebelum ini saling mencabar antara satu sama lain untuk merungkai mengenai isu Sapura Energy Berhad (SEB) yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – MalaysiaGazette