Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta berwaspada apabila menerima panggilan dari individu tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mendakwa orang yang dihubunginya telah melakukan kesalahan.

SKMM dalam satu kenyataan berkata,  peringatan itu dibuat kerana pihaknya menerima aduan dari seorang pengadu mendakwa dia telah dihubungi oleh individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang menyamar sebagai kakitangan SKMM.

“Pengadu telah dihubungi oleh individu bernama Mohd Azim Abdul Aziz yang memaklumkan bahawa talian telefon pengadu telah menghantar pautan-pautan judi dan lucah ke serata telefon di Negeri Sembilan.

“Susulan itu, pengadu telah diminta membuat aduan dalam tempoh 30 minit dan sekiranya gagal untuk berbuat demikian boleh menyebabkan talian telefon pengadu disekat dan disenaraihitamkan oleh pihak penyedia perkhidmatan,” kata kenyataan itu.

SKMM mengesahkan bahawa Mohd Azim Abdul Aziz bukan kakitangan MCMC dan tidak pernah berkhidmat dengan pihak Suruhanjaya itu.

“Pada masa sama, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan suruhanjaya ini lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial Suruhanjaya.

“SKMM tidak pernah menggunakan nama individu, penggunaan bahasa yang meragukan serta nombor telefon bimbit persendirian,” ujarnya.

Sehubungan itu, SKMM menggesa orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan sedemikian dari pihak tidak dikenali dan segera membuat laporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan susulan. – MalaysiaGazette