Foto: PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu kereta secara berbahaya dan melakukan ugutan dengan menggunakan rotan terhadap pengguna jalan raya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah memulakan siasatan terhadap kes ugutan itu yang dikatakan berlaku di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR 2) berhampiran Taman Layang-Layang, ibu negara pada jam 3.35 petang 7 Mei lalu.

“Bertindak atas maklumat pada Khamis jam 4.05 petang, polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dipercayai bertanggungjawab terhadap jenayah berkenaan yang sedang disiasat polis.

“Suspek ditangkap di pekarangan Ibu Pejabat Polis daerah Kuala Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Mei lalu individu sama dicekup polis di Kuala Selangor bagi membantu siasatan kes memiliki dadah.

Tambah beliau, tangkapan itu membawa kepada rampasan sebuah kereta Myvi putih, sebatang rotan sepanjang 90 sentimeter, tiga kunci motosikal dan tiga buah motosikal dengan nombor pendaftaran palsu yang disyaki dicuri suspek.

Sebatang rotan yang dipercayai digunakan suspek membuat ugutan jenayah atas jalan raya di MRR2 turut dirampas semasa tangkapan semalam. Ihsan IPD Sentul

“Suspek kini telah direman selama tiga hari sehingga 15 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut polis. Hasil semakan rekod mendapati suspek turut memiliki jenayah lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Tangkapan suspek berkenaan berjaya membantu polis menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan yang dilaporkan sebelum ini di sekitar kawasan ibu negara, Selangor dan Johor,” ujar beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222. – MalaysiaGazette