Dr. Sallehuddin Ishak

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengibarkan bendera separuh tiang selama lima hari dan bacaan yaasin di semua masjid di negeri ini bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, ia sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah berikutan kemangkatan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan.

“Baginda menitahkan bendera negeri Pahang dikibarkan separuh tiang di semua  premis kerajaan negeri dan Persekutuan di negeri ini.

“Manakala bacaan Yaasin selepas solat Maghrib selama 3 hari berturut-turut di semua masjid di Pahang mulai esok,” katanya menerusi satu kenyataan.

Allahyarham Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan meninggal dunia semalam pada usia 73 tahun.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian sahabat akrabnya menerusi hantaran Facebook Istana Negara.

Kedua-dua pemimpin ini merupakan rakan kolej di Akademi Tentera Diraja Sandhurst pada tahun 1978 serta 1979 dan persahabatan akrab dijalin sehingga kini.

Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat ke Abu Dhabi, UAE pada hari Ahad ini bersamaan 15 Mei 2022 bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Difahamkan istiadat penghormatan terakhir pemerintah ke-16 Abu Dhabi itu dijadualkan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 16 Mei 2022. – MalaysiaGazette