Foto: Bomba

IPOH – Dua wanita dipercayai dibawa arus deras dalam kejadian tanah runtuh dan kepala air ketika sedang mendaki Gunung Suku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46 tahun.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.50 pagi.

“Semasa kejadian pada kira-kira pukul 5 pagi, sekumpulan pendaki gunung seramai 29 orang telah mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

“Namun, semasa dalam perjalanan turun ke kaki bukit, kepala air menimpa kumpulan pendaki tersebut dan dua orang pendaki gunung wanita itu yang berasal dari Cheras dan Klang, Selangor dipercayai telah dihanyutkan oleh arus deras,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Ipoh telah dilancarkan dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan Persatuan Malim Gunung Negeri Perak.

Menurutnya, tempat kejadian adalah di Hutan Simpanan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan kaki dari jalan utama iaitu lebih kurang 32 kilometer perjalanan menaiki kereta dari Balai Polis Simpang Pulai.

Beliau berkata, setakat ini operasi SAR masih dijalankan dan kedua-dua mangsa masih belum ditemui manakala 27 orang pendaki gunung yang lain ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan penyelamat. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast