Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR – Struktur pendidikan negara perlu diubah demi mewujudkan ekosistem baharu.

Jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, perubahan boleh dilaksanakan dengan mewujudkan budaya baharu dalam kalangan guru dan pelajar.

Tambah beliau, dalam masa yang sama, perubahan juga perlu dilakukan demi memastikan pelajar mempunyai daya saing yang tinggi.

“Kita melihat sampailah masanya kita membuat perubahan yang mendalam kepada struktur-struktur pendidikan kita dan anugerah yang kita sampaikan ini merupakan satu asas kecil untuk kita mewujudkan satu budaya baharu supaya guru-guru dan anak-anak murid kita dapat membentuk satu ekosistem pendidikan yang mana mereka yang lahir adalah mereka yang hebat, mereka yang mampu dicampakkan di mana sahaja di dunia ini supaya mereka akan mampu bersaing dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022 yang diadakan di Di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Majlis berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Radzi, KPM perlu meneliti inisiatif dan usaha guru-guru khususnya dalam kalangan penerima anugerah Majlis Apresiasi Festival Guru Malaysia 2022 pada hari ini.

Katanya, insiatif dan usaha yang baik perlu diperluaskan pelaksanaannya di sekolah-sekolah lain agar dapat memberi impak positif dalam kalangan pelajar dalam negara.

“Terdapat pelbagai usaha, inisiatif penerima anugerah pada hari ini yang dilakukan oleh cikgu dengan oenuh rasa keikhlasan, kejituan untuk yang terbaik bagi anak-anak didik sekalian

“Usaha-usaha guru ini akan kekal di sekolah masing-masing jika di peringkat kementerian kita tidak mengambil pendekatan untuk melihat bagaimana usaha-usaha yang terbaik ini sekiranya perlu dikembangkan di sekolah-sekolah lain.

“Ada yang mungkin sesuai untuk dilaksanakan secara meluas ada pendekatan yang tidak melibatkan kos yang tinggi ada yang boleh dilaksanakan dengan masa yang lebih cepat dengan mudah jadi ada pendekatan-pendekatan yang perlu kita ambil kira supaya usaha guru-guru melakukan yang terbaik dapat kita teruskan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast