Pekerja Bottol Garage menonton siaran langsung perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Hari Belia Negara 2022 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan akan memperkenalkan tujuh kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan sebagai inisiatif menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.

“Sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun 2022.

“Anugerah tersebut adalah Ikon Belia Karismatik, Ikon Belia Kelestarian Alam, Ikon Belia Reka Tekno, Ikon Belia Influencer (Media Sosial), Ikon Belia Sanjungan Budi, Ikon Youth-Biz dan Ikon Belia OKU,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Belia Negara 2022 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ hari ini.

Ismail Sabri berkata, belia merupakan tunjang keutuhan Keluarga Malaysia dan disebabkan itu, kerajaan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan belia dalam pelbagai bidang bagi mengiktiraf dan menghargai jasa dan sumbangan golongan belia dalam pembangunan negara.

“Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap Sambutan

“Hari Belia Negara, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara,” katanya.

Ismail Sabri turut berharap agar belia Keluarga Malaysia dapat menyerlah dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan generasi muda yang lebih cerah. – MalaysiaGazette