20 buah rumah di Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Bharu terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak 12 tenghari tadi. - Foto Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Dianggarkan 20 buah rumah di Kampung Jawa Kerling, Kuala Kubu Bharu dekat sini terjejas akibat banjir ekoran hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak 12 tengahari tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pukul 3.45 petang tadi.

“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bersama sebuah jentera dan bot dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut laporan awal, pihak bomba telah memindahkan seorang kanak-kanak bersama dua orang dewasa ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, ada penduduk yang telah keluar lebih awal menyelamatkan diri mereka.

Dalam pada itu, Norazam berkata, bantuan dari BBP Rawang juga telah dihantar ke lokasi bagi memberi bantuan kepada penduduk di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette