Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kontraktor sambilan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Pandan Perdana dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek yang berusia 41 tahun itu ditahan di Jalan Besar Taman Dagang pada pukul 5.40 petang hari ini.

Suspek merupakan rakan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaga kanak-kanak itu kerana ibu bapa kandungnya ditahan di penjara.

“Suspek adalah penjaga sementara kepada mangsa kerana ibu bapa kandung mangsa kini menjalani hukuman penjara di atas kesalahan dadah.

“Mangsa dijaga suspek sejak awal Januari 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Farouk, hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan satu rekod jenayah komersial.

Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ampang esok bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan.

Semalam dilaporkan kejadian seorang lelaki terdengar tangisan kanak-kanak itu pukul 1 petang.

Pengadu mendapati kesan kecederaan di muka dan badan kanak-kanak itu, sebelum ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan keadaan stabil dan ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.- MalaysiaGazette