KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap golongan pendidik iaitu guru dan bekas guru supaya tidak pernah lelah untuk menjadi ‘pelita’ kepada Keluarga Malaysia.
Dalam ucapan sempena sambutan Hari Guru hari ini, Ismail Sabri berkata, kumpulan tersebut adalah pelita yang cahayanya menerangi kegelapan dan menjadi panduan kepada rakyat.
Kumpulan tersebut yang sentiasa berhadapan dengan cabaran dalam mendidik anak bangsa kekal tenang dalam sebarang isu yang dihadapi.
“Guru umpama pelita yang menerangi kehidupan sepanjang hayat. Onak dan ranjau tetap ditempuhi dengan tenang. Saya berharap para pendidik akan terus berbakti dan melaksanakan amanah yang diberikan untuk anak-anak Keluarga Malaysia kita.
“Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua insan yang bergelar guru. Jangan pernah lelah menjadi pelita bagi Keluarga Malaysia,” pesan Ismail Sabri.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, tema “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” bagi sambutan Hari Guru amat tepat dengan tanggungjawab yang dipikul oleh golongan pendidik tersebut.
Mereka sentiasa memberikan yang terbaik ketika mendidik pelajar dalam memastikan negara mempunyai generasi masa depan yang boleh diharapkan oleh negara.
“Tanggal 16 Mei merupakan hari yang cukup bermakna buat warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.
“Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ juga bertepatan dengan komitmen mereka untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam melahirkan pewaris generasi masa depan negara,” katanya.
Negeri Kelantan dipilih menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan tahun.
Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin pada pukul 10 pagi tadi.
Malaysia mempunyai lebih 400,000 guru dengan bilangan sekolah lebih 10,000 yang menempatkan lebih lima juta pelajar.-MalaysiaGazette