Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mewujudkan sistem berpusat untuk penyimpanan maklumat sekolah-sekolah seluruh negara yang boleh diakses oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sistem berkenaan akan dapat meningkatkan kecekapan sekaligus menangani masalah guru-guru yang terpaksa mengisi maklumat sekolah termasuk sistem pemarkahan di dua atau lebih sistem.

“Kita sedar guru merungut, markah dimasukkan ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu dimasukkan dalam Excel, ada JPN minta masukkan ke pangkalan data mereka kemudian masukkan ke dalam talian di dua tiga tempatĀ  (sistem) berbeza.

“Ketidakcekapan ini yang telah berlarutan sekian lama. Insya-Allah kita akan selesaikan di mana KPM sedang menyiapkan satu sistem berpusat untuk guru-guru masukkan sekali sahaja untuk JPN akses bagi membolehkan mereka dapatkan maklumat yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022 yang bertemakan ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’

Sambutan berkenaan diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dalam masa yang sama, Radzi berkata, KPM juga akan menyediakan aplikasi khas untuk membuat jadual-jadual kelas di semua sekolah.

Aplikasi itu akan dapat mengoptimumkan masa guru di sekolah agar dapat dimanfaatkan untuk memberikan tumpuan mendidik murid-.

“Ada sekolah yang buat manual, ada sekolah yang menggunakan sistem yang dijual oleh vendor tertentu. Kita telah buat ketetapan bahawa pihak KPM akan menyediakan satu platform khas, aplikasi khas yang akan digunakan oleh semua sekolah seluruh negara dalam membentuk jadual mereka, menyusun jadual mereka.

“Kita akan usahakan penyediaan aplikasi ini bagi memudahkan guru-guru yang mana sekolah mereka pada waktu dahulu untuk uruskan kecekapan ini,” tambahnya.

Tambah beliau, dalam masa yang sama, KPM akan mendapatkan maklum balas tentang punca ketidakcekapan di sekolah-sekolah menerusi bengkel yang akan diadakan secara besar-besaran.

“Ini untuk memastikan setiap saat guru di sekolah digunakan secara optimum demi kebaikan anak-anak didik sekalian,” kata Radzi.

Selain itu katanya lagi, KPM akan melaksanakan pendekatan baharu membenarkan guru yang layak untuk mengajar mata pelajaran lain daripada bidangnya.

Jelas Radzi, pendekatan berkenaan memudahkan pertukaran guru dilakukan berdasarkan keperluan kekosongan guru berasaskan mata pelajaran di setiap sekolah.

“Guru-guru yang telah mencapai pengalaman mencukupi serta menenuhi kriteria-kriteria tertentu akan dibenarkan untuk ditambah optionnya dalam e-operasi. Borang makluman dalma e-operasi ini akan digunakan dalam permohonan mereka untuk eGTukar.

“Ini akan memberi kesempatan kepada guru-guru yang optionnya berbeza sewaktu belajar di universiti tetapi mengajar pelbagai mata pelajaran untuk membolehkan pergerakan mereka lebih fleksibel di sekolah-sekolah seluruh negara,” kata Radzi lagi.-MalaysiaGazette