Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) merayu penyokong Harimau Selatan memenuhi Stadium Sultan Ibrahim untuk aksi Liga Super menentang Sri Pahang pada malam esok.

Ia adalah perlawanan terakhir pada bulan ini sebelum liga direhatkan untuk memberi laluan kepada persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Kelayakan Piala Asia 2023 pada bulan Jun nanti.

“Esok perlawanan terakhir selepas itu direhatkan untuk satu bulan. Datang stadium beri sokongan. Tahun ini, semangat melawan pasukan luar biasa. Sejarah dan rekod sudah tercipta.

“Sokongan anda memberi setiap pemain semangat yang luar biasa,” tulis TMJ di ruang komen dalam laman instagram officialjohor.

TMJ turut mendedahkan beliau telah banyak berkorban masa dan wang untuk memajukan bola sepak Johor dan berharap agar para penyokong setia pasukan itu sentiasa hadir ke stadium dalam setiap perlawanan.

“Kasihan saya ini. Berjuta-juta duit keluar, masa, pengorbanan, sejarah, pencapaian dan masih kena merayu untuk penyokong ke stadium.

“Apa apa pun terima kasih atas sokongan anda,” tambahnya.

JDT kini kekal berada di kedudukan teratas Liga Super dengan 15 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Kelab itu satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan hanya bolos satu gol sahaja setakat ini.

Seramai 14 orang pemain JDT telah dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan bermula Khamis ini. – MalaysiaGazette.