Seorang kontraktor sambilan hadir ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan melibatkan kes mendera kanak-kanak berumur tiga tahun pada Sabtu lalu di Mahkamah Majistret Ampang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor sambilan telah direman selama seminggu sehingga 23 Mei ini kerana disyaki mendera mendera kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di Pandan Perdana dekat sini Sabtu lalu.

Suspek berusia 41 tahun itu direman bermula hari iniĀ  untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Sarinah Salleh di Mahkamah Majistret Ampang hari ini.

Terdahulu, suspek yang berpakaian baju unggu dan tangan bergari tiba di mahkamah pukul 8.50 pagi dikawal oleh anggota polis untuk proses permohonan reman bagi meneruskan siasatan bagi kes yang sama.

Sambil mengesahkan tempoh reman suspek berkenaan, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan kes itu akan dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut.

Semalam, polis telah menahan suspek berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes dera kanak-kanak lelaki yang berada di bawah jagaannya di rumahnya di Pandan Perdana pada Sabtu lalu.

Terdahulu, Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan suspek yang merupakan penjaga sementara kepada kanak-kanak malang berkenaan kira-kira pukul 5.40 petang di Jalan Besar Taman Dagang.

Suspek yang merupakan kawan kepada bapa mangsa yang diminta untuk menjaganya kerana ibu bapa kandung mangsa sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah.

Tambahnya, mangsa telah dijaga suspek sejak awal Januari lalu dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah serta satu rekod jenayah komersial.

Penahanan suspek dibuat susulan seorang lelaki terdengar tangisan kanak-kanak itu pada pukul 1 petang.

Pengadu menemui kesan kecederaan di muka dan badan kanak-kanak itu sebelum membuat aduan balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan keadaan stabil dan kini ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.- MalaysiaGazette