PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima lelaki yang menyambut hari kelahiran rakannya dengan membakar bunga api secara merbahaya berhampiran Plaza Tol Setia Alam di Shah Alam ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya  terkesan penularan video yang memaparkan kejadian berkenaan selepas ia dimuat naik oleh seorang pengguna Tik Tok semalam.

“Pada 16 Mei lebih kurang jam 12.00 tengah hari, pengadu yang merupakan Ketua Balai Polis Setia Alam menyedari terdapat satu rakaman video bertajuk ‘Big Brother Birthday Celebration’ di laman sosial Tik Tok.

“Penelitian dan siasatan lanjut mendapati kejadian sebenarnya berlaku pada 14 Mei lalu jam lebih kurang 8 malam bagi meraikan hari lahir salah seorang rakan yang dikenali dengan nama panggilan ‘Mustafa’ yang berhenti di tepi tol berkenaan untuk berjumpa dengan kawan-kawan yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30 hingga 41 tahun ditahan kira-kira jam 12 tengah hari selepas mereka hadir dan selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam petang tadi.

Menurut Mohd Iqbal, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan polis.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 Akta Letupan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. – MalaysiaGazette