HFMD cases children infectious disease Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini dikesan meningkat hampir 50 peratus sepanjang tahun ini setakat semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir 14 Mei lalu meningkat 15 kali ganda kepada 31,661 kes berbanding 2,121 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Manakala kes dilaporkan bagi ME 19/2022 adalah 7,526 kes berbanding ME 18/2022 iaitu hanya 1,676 kes di seluruh negara, yang mana peningkatan sebanyak 349%.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 8,864 kes (28%), diikuti oleh Kuala Lumpur & Putrajaya 4,421 kes (14%), Sabah 2,650 kes (8%), Perak 2,638 kes (8%) dan Kelantan 2,493 kes (7.9%).

Sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 1,500 kes.

Menurut beliau, sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia dengan tiga negeri tertinggi mencatatkan wabak tertinggi iaitu Kuala Lumpur & Putrajaya iaitu 309 wabak (35%), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12%), dan Perak 105 wabak
(12%).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika/ taska/pra-sekolah iaitu 575 wabak (65%) diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34%), dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (3%).

”Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD,” katanya di sini.

Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94%),
diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes (5%).

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham berkata, kes denggi meningkat sebanyak 365 kes kepada 1,074 pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berbanding 709 kes pada minggu sebelumnya.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan sehingga kini adalah 14,725 kes berbanding 10,139 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, peningkatan sebanyak 4,586 kes (45.2%).

Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga ME 19/2022 adalah sebanyak sembilan kematian, peningkatan empat kes atau 80% berbanding lima kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, Terengganu mencatatkan peningkatan peratusan kes yang paling tinggi dengan 164.7%, diikuti Labuan 150%, Kedah 137.8%, Negeri Sembilan 71.4%, Selangor 42.6%, Sabah 40.8%, Kelantan 27.1%, Perak 26.4%, Kuala Lumpur & Putrajaya 14.3%, Sarawak 13.7% dan Pulau Pinang 3.4%.

Manakala Perlis, Melaka, Johor, dan Pahang mencatatkan penurunan peratusan kes berbanding tahun 2021. – MalaysiaGazette