PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berpenyakit mental yang ditahan polis Ahad lalu kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, di sinii, direman selama lima hari bagi membantu siasatan polis

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam.

“Mahkamah membenarkan permohonan perintah reman polis agar suspek direman selama lima hari bermula Isnin hingga 20 Mei ini untuk membantu siasatan polis,” katanya, hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, ibu mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama mendakwa suspek itu telah meraba dan memegang bahagian sulit dan dada anaknya berusia 12 tahun itu semasa berada di dalam lif di PPR Kerinci.

Mangsa yang kembali ke rumahnya sambil menangis selepas pergi ke kedai runcit mengadu kepada ibunya bahawa dia telah dikejar dari kedai sehingga ke hadapan lif Blok B perumahan awam itu.

Suspek kemudian didakwa meninggalkan mangsa selepas lif berhenti di tingkat lapan yang mana terletak rumah mangsa.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Katanya, berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah, polis akan merujuk suspek ke Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.

“Seksyen 342 prosedur berkenaan menyebut yang mana tertuduh disyaki tidak sempurna akal hendaklah disiasat dahulu tentang fakta tidak sempurna akal itu.

“Manakala kita juga di bawah Seksyen 342 (5) Kanun Prosedur Jenayah juga menyebut bahawa pendakwa raya boleh di mana-mana peringkat prosiding sebelum perbicaraan itu memerintahkan mana-mana tertuduh yang disyakinya tidak sempurna akal suoaya dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian bagi tempoh tidak melebihi sebulan,” ujarnya. – MalaysiaGazette