Ronaldo dan Erik ten Hag. - Foto The Mirror.

LONDON – Pengurus baharu Manchester United, Erik ten Hag tanpa berselindung menolak spekulasi mengatakan dia tidak berminat untuk menggunakan khidmat Cristiano Ronaldo pada musim depan.

Sebaliknya, bekas pengurus Ajax itu sudah tidak sabar untuk bekerjasama dengan bintang dunia berkenaan.

“Ronaldo merupakan seorang pemain besar, dengan apa yang telah dia pamerkan dan saya berfikir dia masih lagi pemain yang sangat bercita-cita tinggi.

“Sudah semestinya saya mahu untuk terus mempertahakannya bersama pasukan. Dia pemain yang sangat penting buat Manchester United pada musim ini berbekalkan dengan statistik yang hebat,” katanya kepada Goal.com.

Sebaik sahaja ten Hag disahkan bakal membimbing The Red Devils, banyak pihak berpendapat masa depan pemain berusia 37 tahun itu di Manchester kelihatan semakin kabur.

Namun dengan kualiti hebat dimilikinya dalam meledakkan jaringan, Ronaldo dilihat akan terus menjadi sandaran utama buat pengendali kelahiran Belanda tersebut untuk merobek gawang lawan pada musim 2022/23 nanti.

Daripada 30 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini, Ronaldo berjaya mencetak 18 gol dan mencipta tiga bantuan jaringan.

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, pemain antarabangsa Portugal itu telah menjaringkan enam gol di mana United hanya mampu layak ke pusingan 16.

Kehadiran ten Hag yang memiliki reputasi hebat di Belanda bersama Ajax pastinya diharapkan oleh seluruh peminat Manchester United untuk mengembalikan zaman kegemilangan kelab tersebut yang kelihatan terumbang-ambing sebaik sahaja ditinggalkan pengurus legenda, Sir Alex Ferguson. – Agensi

https://www.goal.com/en-my/news/ronaldo-giant-ten-hag-man-utd-star-staying-at-old-trafford/bltb932de145f76e0ff

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast